Friday, January 29, 2010

Penyakit Gout

Penyakit Gout ialah salah satu bentuk artritis yang diakibatkan oleh pengumpulan hablur-hablur asid urik pada sendi-sendi. Penyakit ini terlalu menyakitkan dan dalam kebanyakan kes, hanya menjejaskan satu sendi (monoartritis), khususnya ibu jari kaki. Istilah "gout" berasal daripada perkataan bahasa Latin, "gutta" yang bermakna 'setitis', disebabkan kepercayaan ketika itu bahawa gout diakibatkan oleh titis humor-humor yang mengerikan dan yang mungkin berkait dengan ketul-ketul mendapan urat.

Pesakit-pesakit yang menghidap gout mengalami peningkatan aras asid urik atau masalah penyingkiran asid urik, atau gabungan kedua-duanya sekali. Sila lihat: Metabolisme asid urik

Aras asid urik yang tinggi dikaitkan dengan usia, obesiti, Hiperlipidemia Jenis IV, kencing manis, penyakit jantung iskemia, dan darah tinggi. Kadang kala, gout merupakan penyakit keturunan.

Gambaran klasik tentang gout ialah sakit yang melampau serta mengejut, bengkak, kemerahan, dan kehangatan, serta kekakuan pada sendi. Pesakit mungkin juga mengalami demam gred rendah, dan biasanya menghadapi dua sumber kesakitan. Hablur-hablur dalam sendi mengakibatkan sakit keterlaluan ketika kawasan yang terjejas digerak. Keradangan tisu-tisu di sekeliling sendi juga mengakibatkan kulit menjadi bengkak dan sakit, walaupun hanya disentuh dengan lembut; umpamanya, meletakkan selimut pada kawasan yang terjejas.

Gout biasanya menyerang ibu jari kaki (lebih kurang 75% daripada semua serangan pertama). Bagaimanapun, penyakit itu juga boleh menjejaskan sendi-sendi yang lain, seperti mata kaki, tumit, kekura kaki, lutut, pergelangan tangan, siku, jari, dan tulang belakang. Dalam sesetengah kes, gout boleh terjadi pada sendi jari-jari kaki yang tidak dapat bergerak, disebabkan kecederaan dahulu yang mengakibatkan peredaran darah yang buruk.

Pesakit-pesakit dengan hiperurisemia (sila lihat di bawah) boleh mempunyai mendapan-mendapan hablur asid urik yang dipanggil tofus dalam tisu-tisu yang lain, umpamanya heliks telinga. Dalam sebilangan kes, karang-karang asid urik boleh membentuk sejenis karang ginjal.

Gout mempunyai empat peringkat yang nyata:

1. asimptomatik
2. akut
3. interkritikal
4. kronik.

Dalam peringkat pertama (asimptomatik), aras asid urik plasma bertambah, tetapi tanpa sebarang gejala. Serangan gout pertama menandakan peringkat kedua (akut). Serangan-serangan yang tidak teruk biasanya hilang dengan cepat, manakala serangan-serangan yang teruk berlangsung selama beberapa hari atau juga beberapa minggu. Selepas serangan pertama, pesakit itu masuk peringkat interkritikal atau jarak waktu yang bebas daripada gejala. Tempoh ini mungkin berlangsung selama beberapa bulan atau juga tahun. Kebanyakan pesakit gout mengalami serangan kedua dalam enam bulan hingga dua tahun dari serangan pertama.

Pada peringkat terakhir (kronik), serangan-serang gout menjadi lebih kerap serta poliartikular, iaitu serangan itu membabitkan banyak sendi pada setiap masa. Tofus-tofus besar juga boleh didapati di dalam banyak sendi. Dalam kes-kes gout kronik yang sudah teruk, kerosakan ginjal, hipertensi, dan karang ginjal boleh juga terjadi.

"petikan dari wikipedia"

0 comments:

Post a Comment